Kuala Terengganu: Pengendali T-Team, Rachmad Darmawan kecewa dengan tindakan pengadil Khairulazuan Kidam membatalkan gol kedua pasukannya ketika seri 1-1 dengan Felda United di suku akhir pertama Piala Malaysia malam tadi.
Baginya tiada sebab gol Dilshod Sharofetdinov di minit ke-70 dibatalkan menyaksikan pasukannya gagal mendapatkan kelebihan awal diharapkan sebelum menentang lawan sama pada suku akhir kedua pada 17 September.
"Tiada alasan untuk pengadil membatalkan gol kedua T-Team kerana tiada sebarang kesalahan dilakukan. Tapi itulah dia sudah membuat keputusan dan kita perlu terima.
"Namun untuk ke separuh akhir peluang masih terbuka. Cuma saya nak minta agar pengadil lebih adil dalam mengadili perlawanan seterusnya," katanya meminta semua pihak menghormati keputusan itu.
Pada masa sama, Rachmad juga mahukan pemainnya lebih fokus dan bekerja lebih keras untuk mara ke peringkat seterusnya.
Katanya, anak buahnya perlu mengekalkan momentum dan memberikan komitmen untuk menyaingi pasukan lawan.
"Saya berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan pemain. Saya berharap rentak cemerlang ini dapat dipertahankan pada aksi selepas ini," katanya.
Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam, The Titans mendahului seawal minit ketiga menerusi gol Mohd Safawi Rasid sebelum pemain import pelawat Francis Forkey Doe menyamakan kedudukan minit ke-51.
sumber harian metro
Comments
Post a Comment