PENGENDALI PKNP FC, Abu Bakar Fadzim mengakui amat berpuas hati dengan perjalanan pasukannya sepanjang pusingan pertama Liga Malaysia (Liga-M) 2017.
Setakat pusingan pertama, PKNP berada di tangga ketiga Liga Perdana dengan mencatat enam kemenangan, empat seri dan tewas sekali selain mara ke suku akhir Piala FA.
Sebagai pendatang baru, Abu Bakar menyifatkan pencapaian PKNP benar-benar di luar jangkaannya sebagai jurulatih.
Justeru, beliau berharap momentum ini dapat diteruskan pada pusingan kedua Liga Perdana dan dalam saingan Piala Malaysia nanti.
"Ini semua memang beyond my expectation kerana semua pemain belum ada pengalaman dalam saingan yang lebih berat seperti ini.
"Alhamdulillah, kami dapat kekalkan momentum dan terus memberi saingan kepada pasukan yang lebih lama dalam liga.
"Sekarang ini, cabaran baru kami ialah bagaimana untuk mempertahankan kedudukan yang kami ada sekarang.
"Apa pun saya yakin dengan tambahan pemain import keempat pada jendela perpindahan nanti dan keserasian pemain sedia ada, kami mampu memberi cabaran hebat menjelang pusingan kedua liga dan saingan Piala Malaysia nanti," katanya.Abu Bakar berkata demikian selepas perlawanan menentang UiTM FC yang berkesudahan seri 1-1.
Sumber : Sinar Harian
Comments
Post a Comment