IPOH: Seorang wanita maut apabila kereta dinaiki dihempap pokok tumbang di jalan Gopeng berdekatan Hotel Hillcity, di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, mangsa yang berada di dalam kereta jenis proton Wira berkenaan maut di Hospital Raja Permaisuri ketika mendapatkan rawatan.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh Ali Hairi Sulaiman berkata pokok berkenaan tumbang secara tiba-tiba ke atas kereta mangsa yang ketika itu sedang bergerak.
“Pihak bomba menerima laporan kejadian itu pada jam 3.32 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan setibanya jentera di lokasi kejadian didapati pokok tumbang telah menghempap sebuah kereta proton wira.
“Terdapat tiga mangsa dewasa di dalam kenderaan itu, dua perempuan dan seorang lelaki, kesemuanya dikeluarkan oleh orang awam dan anggota bomba telah menjalankan kerja pemotongan pokok tersebut.
“Kami telah dapat berita seorang mangsa telah maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian pada Sabtu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong memberitahu pihaknya masih lagi sedang menunggu laporan mengenai insiden berkenaan.
Comments
Post a Comment